Hal ini bermakna, kecerdasan intelek menjadi kayu ukur untuk mengatakan seseorang itu berjaya atau tidak dalam hidupnya. Ia secara tidak langsung telah menyebabkan, manusia terlupa untuk mengimbangi konsep kecerdasan intelek dengan kecerdasan lain seperti pengurusan emosi dan sosial.
Ia jelas diibaratkan umpama orang yang tinggi kemahiran inteleknya, tetapi dalam masa yang sama tidak dapat menguruskan emosi dan konflik yang berlaku pada dirinya termasuk dengan persekitaran. Boleh dikatakan kecerdasan intelek sahaja tidaklah mencukupi untuk mengatakan seseorang itu bijak dan berjaya. Ini kerana terdapat elemen lain yang seharusnya didatangkan seiring.
Justeru, pada tahun 1990-an, beberapa sarjana Barat telah membawa pelbagai jenis konsep kecerdasan termasuklah Kecerdasan Emosi (EQ).
Kecerdasan ini dikatakan antara elemen penting dalam mengimbangi kejayaan seseorang selepas IQ. Kecerdasan emosi boleh disifatkan sebagai 'mempunyai kemampuan untuk mengenal pasti dan menguruskan tahap emosi seseorang individu serta memahami persekitaran dengan baik'.
Di antara sarjana penting di dalam penceritaan EQ ini ialah Daniel Goleman. Menurut Golemen, kecerdasan ini mempunyai empat elemen utama iaitu kesedaran tentang diri (self awareness), keupayaan untuk mengurus diri (self management), kesedaran sosial (social awareness) dan kemahiran untuk bermasyarakat (social skills).
Goleman juga berkata, kejayaan seseorang itu bergantung kepada beberapa jenis kecerdasan. Justeru, kecerdasan intelek sahaja bukanlah satu petanda bahawa seseorang adalah orang yang berjaya.
Menurutnya, cuma 20 peratus dari bahagian di mana seseorang itu dikatakan berjaya melalui IQnya manakala sebahagian besar lagi iaitu 80 peratus adalah bercirikan kepada EQ, sosial dan nasib.
Sebenarnya, tahap kecerdasan yang sempurna itu datangnya dalam bentuk komposisi yang kompleks. Dengan adanya pelbagai jenis kecerdasan, seseorang itu adalah hasil daripada penggunaan kecerdasan yang mendominasi dirinya. Jadi, kecerdasan intelek hanyalah sebahagian kecil sahaja.
Kebijaksanaan seseorang boleh dialihkan pada kecerdasan yang bukan berpaksi kepada kecerdasan intelek semata-mata.
Contohnya, apabila seseorang mempunyai tahap kecerdasan emosi, kecerdasan sosial dan kemahiran yang tinggi maka dia juga akan mampu untuk membina empayar kejayaan dan meneruskan survival.
Justeru, apabila dia adalah seorang ketua, maka dia akan memahami para pekerjanya, memberi motivasi dan memahamkan bahawa kerjasama adalah kekuatan mereka. Jika dia adalah seorang individu dalam masyarakat, dia akan mampu untuk berinteraksi dengan cara sihat dengan orang sekeliling.
Dia juga akan mampu untuk berdaya saing dan peka akan kehendak orang lain. Malah sebagai seseorang yang mempunyai kecerdasan emosi, dia memahami apa kemahuannya dan akan mampu untuk mentadbir dirinya dengan baik. Ini dapat menyimpulkan bahawa seseorang yang mempunyai EQ yang tinggi tanpa mengira nilai IQnya, masih mampu untuk berjaya.
Tambahan pula, bagi seseorang yang kurang bijak pada zaman belajarnya. Jika dia masih ada tahap keyakinan diri yang tinggi, maka dia masih mampu menguruskan pekerjaan dengan baik, masih boleh menggaji pekerja dan mempunyai gedung kejayaannya sendiri.
[Asal saja dia tahu apa matlamat dan kemampuan diri serta pandai bergaul secara aktif dan bijak menjaga hubungan dengan orang lain]
Kita juga pernah dikhabarkan bahawa ramai orang yang telah berjaya walaupun tidak mempunyai diploma, ijazah atau kelulusan yang tinggi. Inilah natijahnya bila berlandaskan kemahiran pada sesuatu bidang dan kecerdasan emosi yang tinggi.
Orang seperti ini bukan sahaja bijak menggunakan ruang dan peluang untuk memajukan diri malah mempunyai kekuatan diri yang tinggi untuk terus maju dan mengubah hidup menjadi lebih baik.
Tuntasnya, kejayaan seseorang dalam hidup bukanlah semata-mata diiktiraf daripada kecerdasan inteleknya. Jika dapat diselidiki potensi dan mampu mengawalselia kemahiran diri, pasti seseorang itu dapat menjana diri untuk berjaya dalam lapangan yang diceburi.
Impak mengenal diri sendiri dan memperkasa kemahiran adalah sangat besar. Jika hal ini didukung dengan semangat kemasyarakatan, maka seseorang individu itu bukan sahaja berjaya untuk dirinya, tetapi dihormati dan menjadi contoh kepada orang lain.
------------------
SUMBER: KOSMO
2 comments:
tahniah long.. :)
mekasih mira...legasi mesti terus...errr :P
Post a Comment